Bertempat di sebuah kawasan pedalaman bernama Bukit Badak Estet, Layang-layang, Johot aku telah dilahir pada hari jumaat, jam 11.00 pagi 14 Mei 1954 bersamaan 11 Ramadhan 1373 H. Ketika itu Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan serta dijajahi oleh Inggeris. Ayahku seorang 'Special Counstable (SC)', manakala ibu pula bertugas sebagai Polis Bantuan (AP) di estet tersebut.
![]() |
Sijil kelahiranku |
Semasa berumur 3 tahun, aku selalu mengikut ibu bekerja menjaga pintu masuk estet disebabkan tiada orang yang menjagaku di rumah. Selang beberapa tahun, keluarga ku berpindah pula ke CEP Estet Renggam, Washington Estet dan seterusnya ke Balai Polis Simpang Renggam.
Selepas mencapai kemerdekaan 31 Ogos 1957, ayahku diserapkan ke jawatan anggota polis serta diarahkan bertukar ke luar negeri Johor. Ayahku menolak tawaran dan dia terpaksa menerima hakikat dimana jawatan SC sekarang akan ditamatkan perkhidmatannya. Dia telah dikurniakan sebidang tanah seluas 6 ekar dikawasan pendalaman berhampiran Washington Estet ( kira-kra 6 batu dari Renggam). memandangkan kampung ini berhampiran dengan estet tersebut, ia dipanggil Kampong Batu 6. Jalan masuk ke kampung hingga ke estet hanya melalui jalan tanah merah. Untuk sampai ke kampong tersebut, kami terpaksa pula melalui lorong kecil dengan menunggang basikal atau berjalan kaki.
Keluargaku tinggal di pondok sementara yang dibina daripada kayu, berpangkin dan beratap lalang. Waktu malan aku terpaksa tidur didalam kelambu yang tebal dibuat daripada kain guni tepong. Untuk mengelakkan daripada digigit nyamuk, unggun api dihidupkan di luar pondok. Hanya pelita sahaja dapat memberikan cahaya pada waktu malam.
Ayahku juga meneroka tanah lain berhampiran jalan masuk serta membina rumah yang selesa sedikit dari pondok asal. Rumah ini dibina daripada papan yang dipotong sendiri, sebahagian lantainya menggunakan batang pinang yang dibelah dan beratapkan daun nipah. Adik beradik ku seramai 7 orang tetapi yang tinggal bersama keluarga hanya 4 orang sahaja. Ayah dan ibuku bekerja menggunakan tulang empat kerat mengusahakan ladang baru dengan menanam ubi kayu, keledek, keladi, pisang dan berbagai jenis tanaman jangka pendek. Ianya dijadikan sumber makanan dan pendapatan untuk menyelara hidup keluarga ku disamping tanaman utamanya iaitu getah.
Aku masih ingat lagi pengalaman menolong ayah membersihkan kebun secara melendat (memijak) lalang menggunakan kayu disebabkan tiada racun. Kebun ayahku terletak dikawasan paya yang sentiasa berair ketika hujan. Untuk mengalirkan air, parit perlu dibina mengunakan cangkul.
Aku tidak boleh bayangkan bagaimana susahnya keluargaku hidup untuk mendapatkan sesuap nasi ketika itu. Aku terpaksa memakan lempeng, ubi kayu, beras keling (berbau busuk) dan lauknya hanyalah sayur kampung seperti pucuk ubi, keledek dan pucuk manis. Kadang-kadang berlaukkan ikan yang ditangkap bersama kakak secara memancing atau menimba diparit berhampiran rumah.
Pada tahun 1960, aku mulai tinggal dirumah yang sempurna berlantai dan berdindingkan papan serta beratap zink. Modal yang diperolehi untuk membina rumah tersebut adalah berpunca dari pendapatan hasil kebun keluargaku. Jalan masuk ke kampungku telah dibina oleh kerajaan menggunakan batu merah dianggarkan 1 batu dari jalan raya utama (Spg. Renggam - Air Hitam) melalui Kg. Ulu Benut iaitu 2 batu dari Spg. Renggam. Aku mulai bersekolah pada tahun 1961, kisah seterusnya temuilah dalam siri "SIAPAKAH AKU - ALAM PERSEKOLAHAN".
0 comments:
Post a Comment